Bicara Agama

27 April, 2008

Antara Merebut Nama Allah Dan Mempertahankan Akidah

Filed under: Mohd Asri Zainul Abidin — ardbsd @ 8:42 pm

Oleh Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

BANYAK pihak mendesak saya memberi pandangan tentang penggunaan nama Allah oleh agama lain khususnya Kristian di Malaysia. Pada awalnya, saya selalu mengelak, cuma memberi pandangan ringkas dengan berkata: “Ini bukan isu nas Islam, ianya lebih bersifat pentadbiran atau tempatan. Peraturan ini mungkin atas alasan-alasan setempat seperti kenapa sekarang baru ditimbulkan isu ini? Kenapa hanya Bible bahasa Melayu sahaja yang hendak menggunakan panggilan Allah, tidak edisi Inggerisnya? Adakah ada agenda tersembunyi? Maka wujudnya tanda soal dan beberapa prasangka yang mungkin ada asasnya. Maka lahirlah kebimbangan terhadap kesan yang bakal timbul dari isu itu

Didesak

Namun, akhir-akhir ini saya terus didesak. Saya kata: “Jika anda hendak tahu pendirian Islam bukanlah dengan falsafah-falsafah tentang akar bahasa itu dan ini yang diutamakan. Rujuk terdahulu apa kata al-Quran dan al-sunah. Lepas itu kita bincang hukum berkenaan bertitik tolak dari kedua sumber tersebut. Kadangkala kesilapan kita dalam mempertahankan perkara yang tidak begitu penting, boleh melupakan kita kepada isu yang lebih penting. Isu terpenting adalah kefahaman mengenai keadilan dan kerahmatan Islam yang mesti sampai kepada setiap Muslim atau bukan Muslim di negara ini. Supaya gambaran negatif yang salah terhadap Islam dapat dikikis. Di samping itu, hendaklah kita jelas bahawa yang membezakan akidah Islam dan selainnya bukanlah pada sebutan, atau rebutan nama Allah, sebaliknya pada ketulusan tauhid dan penafian segala unsur syirik. Di samping, kita mesti bertanya : Mengapakah kita sentiasa merasakan akan menjadi pihak yang tewas jika orang lain memanggil Tuhan Allah? Mengapakah tidak dirasakan itu lebih memudahkan bagi menyampaikan kepada mereka tentang akidah Islam? Maka apakah isu ini bertitik tolak dari nas-nas Islam atau kebimbangan disebabkan kelemahan umat Islam?”

Jika kita membaca al-Quran, kita dapati ia menceritakan golongan musyrikin yang menentang Nabi Muhammad s.a.w. juga menyebut nama Allah dan al-Quran tidak membantah mereka, bahkan itu dijadikan landasan untuk memasukkan akidah Islam yang sebenar. Firman Allah: (maksudnya) Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah! (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dialah Tuhan Yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman! (Surah al-Zukhruf ayat 87-88). Firman Allah dalam ayat yang lain: (maksudnya) Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah.” Ucapkanlah (wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid) (surah al-Ankabut ayat 63). Ayat-ayat ini, bahkan ada beberapa yang lain lagi menunjukkan al-Quran tidak membantah golongan bukan Muslim menyebut Allah sebagai Pencipta Yang Maha Agung. Bahkan Nabi Muhammad s.a.w. disuruh mengucapkan kesyukuran kerana mereka mengakui Allah. Apa yang dibantah dalam ayat-ayat ini bukanlah sebutan Allah yang mereka lafazkan, sebaliknya ketidak tulusan tauhid yang menyebabkan akidah terhadap Allah itu dipesongkan atau bercampur syirik. Justeru, soal bukan Muslim mengakui Allah tidak dibantah oleh Islam, bahkan kita disuruh bersyukur kerana pengakuan itu. Cuma yang dibantah ialah kesyirikan mereka. Umpamanya, jika kita mendengar bukan muslim menyebut “Allah yang menurunkan hujan, atau menumbuhkan tumbuhan”, maka kita tentu gembira kerana dia mengakui kebesaran Allah. Apakah patut kita kata kepadanya: “Awak jangan kata Allah yang menurunkan hujan, atau mencipta itu dan ini, awak tidak boleh kata demikian kerana awak bukan Muslim, sebaliknya awak kena kata tokong awak yang menurun hujan.” Apakah ini tindakan betul? Tidakkah itu menjauhkan dia dari daerah ketuhanan yang sebenar? Kita sepatutnya berusaha mendekatkan dia kepada ajaran yang benar. Namun, jika dia berkata: “Tokong ini adalah Allah.” Saya kata: “Awak dusta, itu tidak benar! Maha Suci Allah dari dakwaan awak.”

Keamanan

Maka, ketika Allah menceritakan peranan peperangan dalam mempertahankan keamanan dan kesejahteraan manusia, Allah menyebut: (maksudnya)… Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang (pencerobohan) setengah yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak dalam semua tempat itu dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamanya (agama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Perkasa. (Surah al-Hajj ayat 40). Ayat ini mengakui tempat-tempat ibadah itu disebut nama Allah. Adapun berhubung dengan orang Kristian, Allah menyebut: (maksudnya) Sesungguhnya telah kafirlah mereka yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari yang tiga (triniti).” Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa. (Surah al-Maidah ayat 73). Ayat ini tidak membantah mereka menyebut Allah, tetapi yang dibantah adalah dakwaan bahawa Allah adalah satu dari yang tiga.

Justeru itu kita lihat, orang-orang Kristian Arab memang memakai perkataan Allah dalam Bible, juga buku-buku doa mereka. Tiada siapa di kalangan ulama Muslimin sejak dahulu yang membantah. Jika ada bantahan di Malaysia, saya fikir ini mungkin atas alasan-alasan setempat. Cuma yang diharapkan, janganlah bantahan itu akhirnya memandulkan dakwah Islam dan menjadikan orang salah faham terhadap agama suci ini. Saya selalu bertanya sehingga bilakah kita di Malaysia akan begitu defensive, tidak memiliki antibodi dan tidak mahu berusaha menguatkannya dalam diri? Akhirnya, kita terus bimbang dan takut kepada setiap yang melintas. Padahal itu bukan sifat Islam. Islam agama yang ke hadapan, misi dan intinya sentiasa disebarkan. Sehingga Allah menyebut (maksudnya): Dan jika seseorang dari kalangan musyrikin meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya sehingga dia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke tempat yang selamat. Demikian itu (perintah tersebut) ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam). (Surah al-Taubah ayat 6).

Ada orang tertentu yang berkata kepada saya: Nanti orang Islam keliru kerana sebutan nama Allah itu sama antara mereka dan Islam. Lalu rosak akidah orang Islam kita nanti. Saya berkata: “Jika sebutan nama Tuhan itulah yang menentukan akidah Islam, tentulah golongan musyrikin Mekah tidak memerlukan akidah yang dibawa oleh Nabi s.a.w. Mereka sekian lama memanggil Tuhan dengan panggilan Allah. Lihatlah bapa Nabi kita Muhammad bernama ‘Abdullah yang bermaksud hamba Allah. Tentu sekali bapa baginda lahir pada zaman jahiliah sebelum kemunculan baginda sebagai rasul. Nama itu dipilih oleh datuk nabi, Abdul Muttalib yang menjadi pemimpin Quraisy dahulu. Quraisy pada zaman jahiliah juga bertawaf dengan menyebut: Labbaikallahhumma yang bermaksud: Menyahut seruan-Mu ya Allah! Al- Imam Muslim dalam sahihnya meriwayatkan hadis mengenai perjanjian Hudaibiah antara Nabi s.a.w. dengan Quraisy Mekah, seperti berikut: “Sesungguhnya Quraisy membuat perjanjian damai dengan Nabi s.a.w. Antara wakil Quraisy ialah Suhail bin ‘Amr. Sabda Nabi s.a.w: Barangkali aku boleh tulis Bismillahirrahmanirrahim. Kata Suhail: Adapun Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu BismikalLahumma (dengan nama-Mu Ya Allah!).” Dalam riwayat al-Bukhari, Nabi s.a.w. menerima bantahan tersebut. Ternyata mereka menggunakan nama Allah.

Maka yang membezakan akidah Islam dan selainnya adalah tauhid yang tulus yang menentang segala unsur syirik. Ketidak jelasan dalam persoalan inilah yang menggugat akidah generasi kita. Mereka yang berakidah dengan akidah Islam sangat sensitif kepada sebarang unsur syirik agar tidak menyentuh akidahnya. Bukan semua yang mengakui Allah akan dianggap beriman dengan iman yang sah selagi dia tidak membersihkan diri dari segala unsur syirik. Lihat, betapa ramai yang memakai serban dan jubah, berzikir sakan tetapi pada masa yang sama menyembah kubur-kubur tok wali tertentu. Ini yang dilakukan oleh sesetengah tarekat yang sesat. Apa beza mereka ini dengan yang memanggil nama-nama berhala yang asalnya dari nama orang- orang saleh juga, yang mati pada zaman dahulu. Firman Allah: (maksudnya) Ingatlah! Untuk Allah agama yang suci bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung (sambil berkata): “Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya. Sesungguhnya Allah akan menghukum antara mereka tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik). (Surah al-Zumar ayat 3). Di Malaysia kita pun ada yang memakai gelaran agama menentang pengajaran tauhid rububiah, uluhiah, asma dan sifat. Mereka ini menyimpan agenda musuh-musuh dakwah. Padahal pengajaran tauhid yang sedemikianlah yang mampu menjadikan Muslim memahami dengan mudah hakikat tauhid. Mampu membezakan antara; sekadar mempercayai kewujudan Allah dengan mentauhidkan Allah dalam zat-Nya, ibadah kepada-Nya dan sifat-sifat-Nya.

Mudah

Persoalan tauhid antisyirik ini begitu mudah dan ringkas untuk memahaminya. Nabi s.a.w. telah menyebarkannya dengan begitu pantas dan mudah. Seorang Badwi buta huruf yang datang berjumpa baginda mampu memahami hanya dalam beberapa sesi ringkas. Bahkan mampu pulang dan mengislamkan seluruh kaumnya dengan akidah yang teguh. Namun, di kalangan kita, pengajaran akidah yang dinamakan ilmu kalam begitu berfalsafah dan menyusahkan. Bukan sahaja Badwi, orang universiti pun susah nak faham. Sehingga seseorang bukan bertambah iman, tetapi tambah serabut. Bertahun-tahun masih kesamaran. Diajar Allah ada, lawannya tiada, dengar lawannya pekak, lihat lawannya buta… lalu ditokok tambah dengan falsafah-falsafah dan konsep-konsep yang menyusahkan. Padahal penganut agama lain juga menyatakan Tuhan itu ada, melihat, tidak buta, mendengar, tidak pekak dan seterusnya. Apa bezanya jika sekadar memahami perkara tersebut? Maka anak-anak orang Islam kita gagal memahami hakikat tauhid antisyirik yang sebenar. Padahal ianya begitu mudah semudah memahami kalimah-kalimah akidah dalam surah al-Ikhlas yang ringkas. Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi: “Tambahan pula, perbahasan ilmu kalam, sekalipun mendalam dan kepenatan akal untuk memahami dan menguasainya, ia bukannya akidah… Lebih daripada itu perbahasan ilmu kalam telah terpengaruh dengan pemikiran Yunan dan cara Yunan dalam menyelesaikan masalah akidah. Justeru itu imam-imam salaf mengutuk ilmu kalam dan ahlinya serta berkeras terhadap mereka.” (Al-Qaradawi, Thaqafah al-Da‘ iyah, m.s. 92 Beirut: Muassasah al-Risalat). Dahulu kelemahan ini mungkin tidak dirasa, tetapi apabila kita hidup dalam dunia persaingan, kita mula menderitai kesannya.

Jika akidah generasi kita jelas, apakah mereka boleh keliru antara ajaran Islam dan Kristian? Adakah mereka tidak tahu beza antara ajaran yang menyebut Tuhan bapa, Tuhan anak dan ruhul qudus dengan akidah Islam yang antisyirik, hanya disebabkan adanya sebutan Allah? Begitu jauh sekali perbezaan itu! Bagaimana mungkin sehingga mereka tidak dapat membezakan antara malam dan siang? Apakah nanti kita tidak membenarkan pihak lain menyebut nama Nabi Ibrahim, Ishak, Ya‘kub, Daud dan lain-lain kerana budak-budak akan keliru lagi. Akidah apakah yang mereka belajar di KAFA, JQAF dan pelbagai lagi sehingga begitu corot. Kalau begitu, sama ada sukatan itu lemah, atau tenaga pengajarnya perlu dibetulkan.

Maka sebenarnya, ini adalah isu kelemahan umat Islam memahami akidah yang sebenar. Generasi kita tidak mempunyai benteng akidah yang kukuh. Lalu kita bimbang mereka keliru dengan akidah orang lain. Untuk mengatasi masalah ini, kita cuba mengambil pendekatan undang-undang. Agar dengan halangan undang-undang, kelemahan akidah generasi kita dapat dipertahankan. Persoalan yang patut kita fikirkan, sehingga bila kita mampu terus hidup hanya berbekalkan oksigen dari saluran undang-undang sehingga kita yang majoriti, dengan segala peruntukan yang ada; TV, radio, pelbagai institusi dan agensi yang dilindungi, masih takut kepada gerakan minoriti? Di manakah kehebatan Islam yang selalu kita sebut dan ceritakan sejarah kegemilangannya? Atau sebenarnya, kita tidak memiliki Islam seperti hari ia diturunkan? Maka kempen Islam kita selalu tidak berkesan. Bagi saya, bukan soal nama Allah itu yang terlalu perlu untuk direbut atau dijadikan agenda besar. Tetapi, gerakan membina semula akidah yang sejahtera dan memahamkan generasi kita wajah Islam yang sebenar agar mampu bersaing dan menghadapi cabaran zaman.

Advertisement

26 April, 2008

Solat, Zikir Dan Al-Quran Terapi Tekanan Perasaan

Filed under: Khairunneezam Mohd Noor — ardbsd @ 12:19 pm

Oleh Khairunneezam Mohd Noor

DUNIA pekerjaan memang memberi pengaruh yang cukup terkesan dalam kehidupan. Apa tidaknya, satu pertiga daripada kehidupan seharian diluangkan di tempat kerja. Tekanan kerja jika bijak dikawal akan meningkatkan produktiviti kerja dan motivasi, tetapi jika sebaliknya akan memberi impak negatif kepada diri sendiri.

Tekanan disebabkan pekerjaan adalah interaksi kompleks antara persekitaran tempat kerja, personaliti dan reaksi tubuh badan serta mental seseorang. Persekitaran pekerjaan memberikan desakan serta tekanan tertentu yang merangsang tindak balas individu secara mental dan fizikal.

Tugas terlalu banyak, hubungan dengan rakan sekerja yang tidak baik, ketua suka marah dan suasana kerja tidak selesa adalah contoh persekitaran kerja yang memberi tekanan negatif. Tekanan itu seterusnya memberi impak terhadap kesihatan psikologi dan fisiologi seseorang individu jika tidak ditadbir atau tidak dikawal dengan metodologi tepat.

Banyak implikasi negatif berlaku apabila seseorang tidak dapat mengawal tekanan kerjanya. Panas baran, murung, gelisah, kelesuan, sentiasa rasa bersalah, ketakutan dan hilang tumpuan adalah antara kesannya.

Kadang kala ada di kalangan kita yang mencari jalan singkat dan salah dalam mengatasi tekanan seperti ponteng kerja, melakukan masalah disiplin di tempat kerja, merokok atau perkara dilarang. Berlaku juga kes di mana individu yang tertekan di tempat kerja melepaskan tekanan di rumah dengan mendera anak atau ke tahap melampau sehingga mahu membunuh diri.

Sebagai seorang Muslim, kita perlu sedar bahawa kaedah terbaik menangani tekanan kerja sebegini adalah dengan berpegang erat kepada ajaran dan syariat Islam. Islam menganjurkan mereka yang menghadapi tekanan dan kesusahan perlulah bersabar, tenang, sentiasa rasional dan yakin dengan ketentuan Allah.

Allah memberikan panduan terbaik dalam menangani tekanan melalui firman-Nya yang bermaksud: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar (iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jugalah kami kembali.” (Surah al-Baqarah, ayat 155-156)

Seperti ketentuan Allah, setiap apa yang ada di dunia ini berpasangan, seperti mana siang dan malam atau lelaki dan perempuan, begitu jugalah kesenangan dan kesukaran atau rahmat dan dugaan.

Kita harus menerima hakikat kehidupan manusia akan selalu diuji oleh Allah. Kita perlu meletakkan keyakinan bahawa ujian seperti tekanan kerja sebegini adalah bertujuan untuk memantapkan keimanan, ketakwaan, kesyukuran dan rasa cinta kita kepada-Nya.

Banyak kaedah menghadapi tekanan kerja berlandaskan ajaran Islam yang cukup berkesan untuk diamalkan. Pertamanya, menjaga solat fardu lima waktu dan memperbanyakkan solat sunat. Banyak kajian pakar psikologi Barat sendiri yang memperakukan fadilat solat dalam memberi ketenangan jiwa dan pemikiran seseorang.

Menurut kesimpulan beberapa kajian sarjana barat, secara saintifiknya solat adalah suatu tempoh masa ‘aman dan damai’ di mana seluruh tubuh dan minda seseorang tertumpu kepada sesuatu (kepada Allah).

Gerakan dan keadaan minda dalam solat berupaya menghalang pengaliran keluar hormon seperti Cortisol, Epinephrine dan Norepinephrine daripada kelenjar adrenalin yang bertindak balas terhadap sebarang tekanan. Solat turut membantu memberi kesan positif terhadap sistem pernafasan, aliran oksigen dalam badan, degupan jantung dan gelombang otak.

Daripada konteks Islam, mendirikan solat fardu lima waktu, dilengkapkan dengan amalan solat sunat yang pelbagai, seseorang itu akan diberikan pertolongan oleh Allah dalam sebarang kesukaran.

Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai sekalian orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 153)

Keduanya, dengan amalan berzikir seperti bertakbir, bertahmid dan bertasbih adalah amalan yang mampu menenangkan jiwa seperti jaminan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “(Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah.” (Surah ar-Ra’d, ayat 28)

Ketiga, mengamalkan mendengar, membaca dan menghayati tafsir al-Quran. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Al-Quran adalah penawar kepada kesakitan minda.” (Hadis riwayat Bukhari)

Membaca al-Quran sendiri memberikan ketenangan kepada pembaca malah kepada sesiapa yang mendengar bacaannya apatah lagi jika ayat Allah itu difahami, dihayati dan dijadikan panduan dalam kehidupan kerana al-Quran dan hadis adalah sumber teragung merungkaikan segala permasalahan.

Keempatnya, meletakkan keyakinan bahawa kehidupan dunia ini adalah sementara dan akhirat jugalah tempat yang kekal selamanya. Dengan cara ini, jiwa akan terasuh untuk menyedari bahawa apa saja yang berlaku di dunia ini baik yang positif ataupun negatif sekadar warna kehidupan dunia yang tidak kekal lama dan akan mendapat balasan setimpal di akhirat kelak.

Tekanan yang dihadapi di tempat kerja akan menjadi sesuatu yang terlalu kerdil jika dibandingkan dengan apa yang akan dihadapi di Padang Mahsyar kelak. Diri kita akan sentiasa takutkan azab api neraka dan berusaha mencari keredaan-Nya dan dimasukkan ke dalam syurga.

Kelima, dengan amalan berdoa, memohon keampunan dan menyerahkan segala apa yang sudah diusahakan bagi mengatasi tekanan diri untuk ketentuan-Nya. Allah berfirman yang bermaksud: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina.” (Surah al-Ghaafir, ayat 60)

Kesimpulannya, walau sebesar manapun masalah atau kesukaran yang menyumbang kepada tekanan di tempat kerja, kita perlu sedar ia boleh dihadapi dengan jayanya jika tindak-tanduk kita menepati syariat Islam.

Leteran Isteri Antara Punca Kerenganggan Rumahtangga

Filed under: Aminudin Mansor — ardbsd @ 12:15 pm

Oleh Aminudin Mansor

SEBAGAI manusia biasa, sifat marah memang ada dalam hati dan jiwa seseorang. Bagaimanapun, sifat marah boleh dikawal supaya tidak berleluasa daripada menyelubungi perasaan dan tindakan kita.

Pakar psikologi menyatakan, sifat marah biasanya berpunca daripada sesuatu sebab atau kesan yang menyebabkan seseorang itu melahirkannya dalam dalam bentuk tindakan dan berasa tidak selesa apabila tidak berbuat demikian.

Menurut ahli sufi, marah disebabkan darah yang memenuhi hati dan bertujuan membalas dendam terhadap seseorang.

Rasulullah SAW pernah menasihatkan Mu’awiyah: “Wahai Mu’awiyah, jauhkan olehmu sifat marah, kerana marah itu dapat merosakkan iman seseorang seperti pahit jadam merosakkan madu yang manis.”

Marah berasal daripada syaitan kerana syaitan dijadikan daripada api dan api itu hanya dapat dibunuh dengan air. Maka oleh sebab itu Nabi SAW menasihatkan supaya orang yang sedang marah mengambil wuduk.

Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai anak Adam, sebutlah nama-Ku apabila engkau marah, supaya Aku ingat pula akan engkau, dengan demikian apabila Aku marah tidaklah Aku menurunkan malapetaka atasmu.”

Itulah sebabnya salah satu amal terbaik ialah menahan diri tatkala marah dan sabar sewaktu hawa nafsu meluap-luap. Maka dapat dinilai orang yang baik itu harus nampak kebaikannya pada waktu marah bukan pada waktu riang gembira.

Rasa takut kepada Allah dapat menghilangkan rasa marah, kerana marah itu datang ketika seseorang melupakan Tuhannya. Hanya Allah yang berhak marah terhadap hamba-Nya yang ingkar dan melakukan kemaksiatan.

Kemarahan dapat menghancurkan segala kebaikan yang ada. Oleh itu, sebagai hamba patutlah mengawal kemarahan supaya tidak menjadi mangsa malapetaka yang boleh terjadi akibat kemarahan.

Sebagai bapa atau ibu, sifat marah terhadap anak patut dikawal sebaiknya supaya anak tidak menjadi mangsa kemarahan tanpa sebab dan si anak tidak akan menyimpan dendam terhadap kemarahan ibu bapa mereka.

Islam mengajar umatnya mengambil berat perihal hubungan murni antara anak dengan ibu bapa. Ia adalah sebagai teras penting dalam kehidupan rumah tangga.

Sementara anak pula, wajib menghormati ibu bapa selagi mereka tidak menyuruh kepada perkara dilarang Allah.

Seorang anak mestilah menjaga lidahnya supaya tidak memarahi ibu bapa mereka, apatah lagi apabila kedua-duanya sudah tua dan uzur.

Allah menegaskan dalam al-Quran yang bermaksud: “Jika salah seorang daripada keduanya (ibu bapa), atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ah!” dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (bersopan santun).” (Surah al-Isra’, ayat 23)

Ibu bapa pula, perlu bersikap sayang menyayangi antara anak dan ibu bapa haruslah diwujudkan dalam rumah tangga. Hindarkan sifat marah tanpa bersebab, kerana ia boleh menjadi punca renggang kasih sayang antara anak dan ibu bapa.

Keluarga bahagia memang menjadi idaman setiap insan. Namun, sepanjang hidup sebumbung, ada ketikanya suami marah terhadap isteri, anak, mungkin berkaitan hal disiplin dalam rumah, hal pelajaran anak, kewangan, makanan dan pelbagai lagi hal ehwal rumah tangga.

Begitu juga sikap sesetengah ibu, yang suka berleter kerana rumah tidak berkemas, atau sampah bertaburan di luar rumah, pinggan mangkuk dan kain baju tidak dibasuh. Apa pun puncanya, sifat marah keterlaluan boleh mengeruhkan suasana hingga menjejaskan hubungan kasih sayang antara suami isteri, ibu bapa dan anak.

Hubungan boleh menjadi renggang, menimbulkan penderaan terhadap anak ataupun lebih buruk lagi perceraian suami isteri. Sifat marah juga boleh merosak dan mengakibatkan kemusnahan jika tidak dikawal dengan hati yang rasional dan fikiran tenang.

Jika kita berhadapan dengan orang yang sedang marah, cubalah hadapinya dengan langkah berikut:

  • Beri peluang orang yang sedang marah itu bercakap atau meluahkan terlebih dulu punca kemarahannya;
  • Ketika berhadapan dengan individu yang sedang marah, janganlah menyampuk dan merendahkannya;
  • Kaji punca kemarahannya dan cuba atasi. Jika berpunca daripada kesilapan kita, mintalah maaf daripadanya;
  • Cubalah bertanya soalan bagi membantu menyelesaikan masalah;
  • Terima kemarahan dengan tenang.

Bagi mengubati perasaan marah, cubalah amalkan;

  • Sentiasa ingat kepada Allah dan ingatlah juga bahawa marah adalah sifat tercela yang tidak disenangi orang lain;
  • Ambil wuduk dan bawa bertenang dengan memikirkan asal kejadian kita.
  • Fikir semula mengapa kita harus marah. Nilai semula punca yang menyebabkan kita marah.

25 April, 2008

Menginsafi Tanggungjawab Sebagai Pemimpin

Filed under: MOHD RAHIMIN SIHAT — ardbsd @ 8:48 pm

DALAM hubungan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT, seperkara yang perlu kita ingat ialah sebagai insan atau makhluk terbaik yang dicipta oleh Allah, kita memikul dua amanah yang penting. Pertama, amanah sebagai hamba Allah yang dituntut supaya kita mengabdikan diri kepada-Nya.

Kedua, amanah sebagai khalifah di muka bumi yang diberi peranan untuk membangunkan insan dan alam berpandu kepada syariat Allah SWT dengan harapan akan wujud keamanan dan kesejahteraan untuk dinikmati bersama.

Dalam konteks pembangunan dan memakmurkan negara, amanah untuk menguruskan dan mentadbir negara terpikul di bahu para pemimpin yang pada dasarnya mempunyai tiga peranan utama iaitu:

  • Mewujudkan suasana aman dan damai (mengelakkan rasa takut dan cemas bagi setiap penduduknya).
  • Mewujudkan kemakmuran dan keluasan rezeki dalam penghidupan (rakyat dalam keadaan sihat jasmani dan rohani).
  • Melahirkan manusia-manusia yang baik dan berakhlak mulia.

Dengan penjelasan demikian, peranan dan tanggungjawab seseorang pemimpin itu sebenarnya amat besar dan dirasakan amat berat. Oleh itu sebagai seorang pemimpin sama ada terhadap diri dan keluarga apatah lagi jika memegang kepimpinan yang lebih besar, kita beramanah dan bertanggungjawab atas kepimpinan tersebut malah meletakkan masalah kepimpinan itu pada tahap paling atas sesudah beriman kepada Allah dan Rasul.

Dalam menjayakan sesuatu rancangan yang telah dirangka, seseorang pemimpin hendaklah sentiasa meningkatkan ketakwaan dan mendekatkan diri kepada Allah dengan harapan Allah akan memberi pertolongan dan kemudahan dalam mencapai matlamat kepimpinan yang di sebut tadi. Perlu disedari, jika tidak mendapat pertolongan daripada Allah, pasti kita akan gagal dalam melaksanakan sesuatu tugas sebagaimana madah seorang penyair sufi.

Ia berbunyi: “Kalaulah tidak ada pertolongan Allah kepada seseorang pemuda, maka faktor pertama yang merosakkan dirinya ialah usaha dan kesungguhannya sendiri”.

Sebagai seorang pemimpin yang beriman kepada Allah, hendaklah menjadikan diri Rasullullah SAW sebagai contoh ikutan yang terbaik. Ini kerana Baginda SAW mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang unggul seperti berilmu dan bertakwa, amanah dan bertanggungjawab, adil dan tegas, mengutamakan kepentingan umum terlebih dahulu daripada kepentingan diri sendiri, hidup amat bersederhana dan tidak bermewah-mewah, mengamalkan dan menghargai pendapat serta teguran orang bawahan.

Ini menjadikan diri baginda Rasulullah SAW dikasihi oleh Allah dan para umatnya, malahan baginda juga dihormati dan disegani oleh musuh-musuhnya.

Justeru, para pemimpin hari ini perlulah menjadikan diri Rasulullah SAW sebagai idola dan model kepimpinan yang terunggul. Kebijaksanaan dan ketokohan Baginda sebagai seorang pemimpin agung melayakkan diri baginda SAW sebagai pemimpin umat yang berjaya, pemimpin rumah tangga yang penyayang, sebagai guru atau pendidik yang tidak mengenal putus asa, bahkan sebagai ketua atau panglima di medan perang yang gagah berani dan sebagainya.

Dan betapa pula kita pada hari ini sebagai pemimpin terhadap diri sendiri, pemimpin dalam keluarga, pemimpin dalam sebuah organisasi atau pertubuhan malahan mungkin ada di antara kita yang menjadi pemimpin lebih besar lagi daripada yang di sebutkan tadi.

Adakah kita benar-benar prihatin dengan kepimpinan kita? Dan adakah kita sentiasa menginsafi bahawa kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan-Nya mengenai kepimpinan kita di dunia ini.

Amat mendukacitakan, keghairahan sekelompok pemimpin yang menawarkan diri menjadi ketua atau pemimpin dalam pertubuhan dan organisasi yang mencetuskan banyak polemik dan isu amat dikesali. Ini kerana, perebutan kuasa dan pertelagahan untuk melayakkan diri mereka memimpin sesebuah organisasi dan pertubuhan telah melenyapkan konsep syura atau perundingan yang menjadi salah satu dasar dalam ajaran Islam.

Sejarah telah membuktikan ketika Rasulullah SAW wafat, para sahabat telah berbincang untuk memilih pemimpin bagi menggantikan baginda, lalu para sahabat memilih Saidina Abu Bakar sebagai pemimpin berdasarkan sistem syura. Islam telah menggariskan beberapa kriteria untuk melayakkan seseorang menjadi pemimpin iaitu, hendaklah seorang yang amanah, berkemampuan, berpengalaman dan bertakwa kepada Allah.

Ummah Dituntut Bersatu Elak Perpecahan

Filed under: Mohd Adid Ab Rahman,Uncategorized — ardbsd @ 8:42 pm

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

ISLAM mengajarkan setiap orang yang beriman itu bersaudara tanpa mengira warna kulit, bangsa atau negara. Seluruh umat Islam adalah sebuah keluarga besar berasaskan akidah yang satu iaitu kepercayaan kepada Allah.Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang mukmin adalah bersaudara. Maka damaikanlah antara kedua-dua saudara kamu dan bertakwalah kepada Allah. Semoga kamu mendapat rahmat.” � (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Apabila menjadi satu keluarga, sudah tentu tidak dibenarkan sama sekali bergaduh, berpecah dan berpuak-puak. Islam tidak suka kepada suasana perpecahan dan hidup dalam percakaran sesama sendiri, apatah lagi jika sampai tahap tercetusnya pertumpahan darah.

Lantaran itulah, Allah menyuruh seluruh manusia supaya berpegang kepada pokok akidah yang benar seperti dinyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan berpeganglah kamu semuanya pada tali (agama) Allah, janganlah kamu bercerai-berai dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dulu (zaman jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan antara hatimu, lalu jadilah kamu kerana nikmat Allah orang yang bersaudara dan kamu sudah berada di tepi jurang neraka lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-Nya kepadamu, supaya kamu mendapat petunjuk.” � (Surah Ali-Imran, ayat 103)

Menurut tafsir Al-Muhtamir, ayat itu menjadi dalil pentingnya setiap Islam berpegang teguh dengan agama Allah (Islam), dan bersungguh-sungguh menjauhi suasana buruk perpecahan kerana perpecahan umat Islam hanya akan merugikan umat Islam itu sendiri, hilang kekuatan dan tampak lemah tidak bermaya.

Akibatnya, pihak musuh yang sudah sekian lama menunggu akan memperguna peluang ini untuk bertindak menindas dan menghina umat Islam yang sudah lemah dengan pelbagai cara. Oleh itu, sebelum mimpi buruk menjadi realiti, umat Islam perlu mematuhi setiap ajaran Islam.

Allah berfirman yang bermaksud: “Patuhilah Allah dan Rasul-Nya, jangan kamu saling berselisih, hal ini menyebabkan kamu menjadi lemah dan hilang kekuatan kamu. Bersabarlah, sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar.” � (Surah al-Anfal, ayat 46)

Natijahnya, persaudaraan yang kukuh terjalin antara sesama Islam, menjadikan umat Islam kuat dan bersatu padu. Masyarakat Islam yang taat serta patuh dengan perintah Allah dan Rasul pasti saja begitu indah, sejahtera, harmoni dan sentiasa memperoleh cucuran rahmat-Nya.

Demi persaudaraan Islam yang utuh bersatu, maka sikap mementing diri sendiri seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing hendaklah dielakkan. Sikap demikian sebenarnya adalah sifat orang yang ragu-ragu terhadap kekuatan Allah, sehingga mengagumi diri sendiri.

Inilah dikatakan orang yang sombong keterlaluan. Larangan Allah sangat jelas dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong dan membanggakan diri.” � (Surah Luqman, ayat 18)

Padahal, manusia harus menerima hakikat tidak ada seorang pun yang boleh hidup sendirian, suatu hari nanti pasti akan memerlukan bantuan dan pertolongan orang lain. Kerana manusia itu sifatnya lemah sekali.

Muhammad Al-Hamid dalam bukunya Siapa Muanafiq menjelaskan: “Sesungguhnya akhlak dan budi pekerti mulia adalah kunci pembuka syurga, sedangkan sombong penyebab tertutupnya syurga dan kunci bagi neraka. Kesombongan akan dapat membuat seseorang kehilangan kasih sayang terhadap sesamanya. Jika kasih sayang itu gersang dalam hati, maka timbullah rasa kebencian yang teramat mendalam.”

Setiap orang Islam juga perlu mengelakkan diri daripada menyakiti orang Islam lain sama ada dengan perbuatan mahupun perkataan. Kebanyakan kalangan kita tidak mampu menjaga lidah, sehingga sewenang-wenangnya mengeluarkan perkataan atau ucapan berupa cacian, umpatan, fitnah dan sebagainya yang boleh mencemarkan maruah seseorang.

Allah memberi peringatan tegas dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan orang yang menyakiti orang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka memikul pembohongan dan dosa yang nyata.” � (Surah al-Ahzab, ayat 58)

Rasulullah SAW pernah memberi saranan bahawa sesama Muslim hendaklah saling sayang-menyayangi sepanjang masa, supaya persaudaraan sesama Islam dapat dilestarikan seperti maksud hadis: “Setiap Muslim terhadap Muslim lainnya itu haram darah, harta dan harta dirinya.”

Kita tidak boleh memperlekeh dan menghina orang lain atau golongan lain, lantaran mungkin pihak yang diperlekeh tadi lebih baik daripada kita.

24 April, 2008

Allah Mengetahui Tahap Keikhlasan Kita

Filed under: Uncategorized,Zulkifli Mohamad Al-Bakri — ardbsd @ 10:07 pm

Sheikh Sya’rawi berkata: “Mereka yang seperti batu yang licin yang ada padanya debu kemudian datangnya hujan tanpa meninggalkan sebarang bekas merupakan sifat-sifat bagi siapa yang dikehendaki dengan infak secara riak kepada manusia. Lantas Allah membatalkan balasan untuk mereka dan tidak mentaufikkan ke arah kebaikan dan pahala. “Seterusnya Allah menyebut yang berlawanan dengan sifat di atas iaitu mereka yang menafkahkan semata-mata kepada Allah SWT”.

Firman Allah SWT, Dan perumpamaan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan untuk keteguhan jiwa mereka, seperti sebuah kebun yang terletak di dataran tinggi.

Sayyid Qutub berkata: “Ia menginfakkan harta kerana keyakinannya yang teguh kepada kebajikan, kerana kesedaran yang lahir dari keimanannya dan kerana keimanannya yang bertunjang dengan mendalam di dalam hati nuraninya.

“Jika hati yang keras ditutup dengan tabir riak itu dilambangkan dengan batu licin yang keras yang ditutupi tanah, maka hati yang mukmin itu dilambangkan dengan sebuah kebun yang subur yang mempunyai tanah yang dalam, dibandingkan dengan segenggam tanah di atas batu yang keras tadi, sebuah kebun yang terletak di atas sebuah dataran yang tinggi dibandingkan dengan segenggam tanah di atas batu keras yang licin tadi.

“Ini menjadikan pemandangan itu mempunyai bentuk-bentuk yang selaras. Apabila kebun ini ditimpa hujan lebat, maka ia tidak menghakiskan tanahnya yang subur sebagaimana ia menghakiskan tanah yang tipis di atas batu yang pejal itu. Malah ia menghidupkan tanam-tanamannya dan menyuburkan serta membanyakkan hasilnya”.

Firman Allah SWT: Yang disiram oleh hujan lebat, Maka kebun itu menghasilkan buahnya berlipat ganda. Jika hujan lebat tidak menyiraminya, Maka hujan gerimis (pun memadai).

Al-Nasafi berkata: “Allah SWT umpamakan hal mereka dengan kebun yang disirami air dan nafkah yang banyak dan sedikit dengan hujan yang banyak sebagaimana setiap satu daripada hujan boleh menggandakan hasil tanam begitu juga nafkah mereka yang banyak dan yang sedikit selepas daripada dituntut dengannya keredaan Allah akan bertambah dan baik kesudahannya”.

Melipat gandaSayyid Qutub berkata: “Air hujan itu menghidupkan pokok di kebun itu sebagaimana sedekah menghidupkan hati yang mukmin lalu ia menjadi bersih dan bertambah kuat hubungannya dengan Allah, dan hartanya juga turut bersih dan Allah melipat gandakan balasannya seberapa banyak yang ia sukai, dan seterusnya kehidupan kelompok muslimin juga turut menjadi bersih, baik dan berkembang subur dengan sebab infak itu”.

Beliau menambah: “Yakni jika tidak ada hujan yang lebat, maka hujan gerimis yang sedikit cukup untuk tanah kebun yang subur itu. Itulah satu adegan yang sempurna yang memaparkan pemandangan- pemandangan yang bertentangan dan dengan perincian-perincian yang tersusun rapi. Ia dibentangkan dengan cara keselarasan yang melemahkan manusia.

“Ia melambangkan setiap perasaan di dalam hati dan setiap fikiran dengan pemandangan-pemandangan yang jelas. Ia menggambarkan perasaan-perasaan dan pergerakan-pergerakan jiwa dengan keadaan dan pemandangan- pemandangan fizikal yang setanding dengannya. Ia menyarankan ke dalam hati supaya memilih jalan yang betul dengan cara mudah yang terbaik”.

Firman Allah SWT: Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu perbuat.

Al-Nasafi berkata: “Allah melihat segala amalanmu sama ada banyak atau sedikit serta mengetahui niatmu sama ada riak atau ikhlas.

“Oleh sebab dengan ini dari satu aspek yang menjadi tontonan mata kasar dan mata hati dan segala yang disebut di dalamnya juga dikembalikan kepada Allah Yang Maha Melihat dan Mengetahui segala apa yang ada di sebalik segala yang nyata”.

Firman Allah SWT: Apakah ada salah seorang di antaramu yang ingin mempunyai kebun kurma dan anggur yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dia mempunyai dalam kebun itu segala macam buah-buahan.

Al-Maghari berkata: “Telah berlangsung sunah al-Quran bahawa menyebut kemuliaan dengan buah dan pohon kurma dengan buahnya kerana setiap sesuatu dari pohon kurma semuanya memberi manfaat kepada kehidupan manusia sama ada daunnya, batangnya, mayangnya, pelepahnya yang boleh digunakan kesemuanya”.

Sayyid Qutub berkata: “Ia sebuah kebun yang teduh, rimbun, subur dan berbuah. Demikianlah juga sifat sedekah dan kesan-kesannya dan beginilah keadaannya dalam hidup si pemberi, dalam hidup si penerima dan dalam hidup masyarakat manusia.

“Demikianlah juga sedekah itu mempunyai roh, bayang yang teduh, kebajikan dan keberkatan, mempunyai makanan dan minuman dan mempunyai kebersihan, kesuburan dan pertambahan.

“Siapakah yang ingin mempunyai kebun atau kebajikan yang seperti ini kemudian ia melepaskan (ribut) perbuatan yang membangkit- bangkitkan pemberian dan perkataan yang menyakitkan hati dan memusnahkan kebajikan itu sebagaimana kebun dimusnahkan oleh ribut yang kencang yang mengandungi api.

“Bilakah kebun itu dimusnahkan? Ia dimusnahkan pada waktu tuannya berada dalam keadaan yang paling lemah untuk menyelamatkannya dan paling berkehendak kepada bayang-bayang yang teduh dan hasilnya yang baik”.

Firman Allah SWT: Kemudian datanglah masa tua pada orang itu sedang dia mempunyai keturunan yang masih kecil-kecil. Maka kebun itu ditiup angin keras yang mengandung api, lalu terbakarlah.

Ibnu Jauzi berkata, ayat ini menggambarkan perumpamaan Allah dengan sebab kerugian ketika ditarik nikmat ketika keperluan yang amat mendesak.

Orang yang dimaksudkan ini terdapat tiga pandangan ulama:

Pertama: Bahawa ia diumpamakan yang disudahi kehidupannya dengan amalan yang tidak baik seperti kata Ibnu Abbas.

Kedua: Bahawa ia diumpamakan seperti orang yang cuai pada ketaatan kepada Allah sehingga mati. Inilah pendapat Mujahid.

Ketiga: Ia diumpamakan seperti orang yang riak dalam nafkah yang terputus manfaatnya ketika ia amat perlu. Inilah pendapat As-Suddi.

Firman Allah SWT: Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada kamu supaya kamu memikirkannya.

Ibnu Kathir berkata: “Supaya kamu mengambil iktibar dan memahami segala perumpamaan dan makna dan kamu menurunkannya mengikut apa yang dikehendakinya”.

Iktibar Ayat:lPerumpamaan untuk mendekatkan kefahaman.

lInfak kerana Allah mendapat ganjaran yang besar.

lMengisbatkan sifat Allah yang Maha Melihat.

Pelihara Percakapan Elak Dosa Mengumpat

Filed under: Abdul Rashid Ahmad — ardbsd @ 9:13 pm

Oleh Prof Madya Dr Abdul Rashid Ahmad

LIDAH adalah alat komunikasi penting dalam menjalin hubungan mesra antara masyarakat manusia di dunia. Ia juga untuk menyebar ilmu dan banyak lagi manfaat lain. Sebaliknya, lidah boleh jadi bahaya, kerana boleh digunakan untuk memecah belahkan masyarakat, memfitnah, mencaci, mengumpat dan sebagainya.

Justeru, Islam memberi perhatian serius terhadap penjagaan lidah. Peri pentingnya penjagaan lidah itu sehingga Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Siapa diam dia berjaya”(Hadis riwayat al-Tirmizi).

Pada waktu lain Baginda SAW memberi jaminan kepada orang yang sanggup menjaga lidahnya. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang boleh memberi jaminan kepadaku apa yang ada antara misai dan janggutnya dan apa yang ada antara dua pahanya, aku jamin baginya syurga.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Al-Quran mengingatkan bahawa setiap ucapan yang diucapkan seseorang tidak akan terlepas daripada catatan malaikat-Nya. Allah berfirman yang bermaksud: “Tiada suatu ucapan pun yang diucapkannya melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir.” (Surah Qaf, ayat 18).

Antara keburukan lidah ialah bercakap perkara yang tidak berfaedah, tidak baik, mengucapkan kata keji, mencaci, mencarut, menghina, membuka rahsia orang, mengumpat dan perbuatan negatif lain yang tidak sepatutnya.

Mereka yang mengetahui nilai masa serta umur tidak akan membiarkan diri menggunakan lidah untuk berkata perkara tidak mendatangkan faedah, kemarahan orang lain atau menyebabkan perbalahan sesama manusia.

Diriwayatkan bahawa Luqmanul Hakim pernah ditanya: “Apa rahsia kebijaksanaanmu? Jawabnya: Aku tidak bercakap perkara yang tidak memberi faedah kepadaku. Kata Luqman lagi: Diam itu bijaksana, tetapi sedikit pelakunya.”

Sewajarnya lidah digunakan untuk memberitahu atau mengajak orang lain kepada kebaikan dengan memberi nasihat serta menegur sahabat jika mereka melakukan perkara mungkar supaya segera kembali ke pangkal jalan.

Sebaliknya, mengeji, mencaci dan mencarut adalah perkara yang dilarang Islam dan mereka yang melakukan perkara itu dengan lidahnya wajib bertaubat serta memohon maaf kepada mereka yang disakitinya.

Selain itu, menghina orang lain termasuk keburukan lidah yang patut dijauhi, kerana ia boleh merosakkan hubungan mesra dan harmoni antara anggota masyarakat. Paling buruk tindakan lidah ini dalam konteks Islam ialah mengumpat.

Allah Taala mengumpamakan pengumpat itu sebagai pemakan daging saudaranya yang sudah mati. Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah mengumpat satu sama lain. Adakah seorang di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu berasa jijik kepadanya dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Mengumpat ialah menyebut di belakang saudaramu sesuatu yang tidak disukainya, sama ada kekurangan itu pada fizikalnya, keturunannya, peri lakunya, pakaiannya atau sebagainya.

Berdasarkan pengertian ini, jika kita tidak menjaga betul-betul lidah, maka rata-rata kita tidak terlepas daripada dosa mengumpat. Pada hal dosa itu tidak akan diampun Allah jika tuannya tidak memaafkannya lebih dulu.

Umumnya masyarakat kita kurang memberi perhatian serius terhadap amalan mengumpat yang kesannya akan menyebabkan berlaku pergaduhan, saling tuduh menuduh dan memburukkan orang lain dengan perkara mengaibkan.

Namun, ulama menyenaraikan beberapa kelonggaran yang mengizinkan kita menyebut kekurangan orang lain di belakangnya iaitu tidak dikira dosa. Ia termasuk beberapa keadaan berikut:

  • Apabila seseorang itu dizalimi, maka dia dibolehkan menceritakan kezaliman ke atasnya kepada pihak yang bertanggungjawab;
  • Apabila hendak mendapat fatwa atau mengetahui hukum sesuatu;
  • Apabila ingin memberi peringatan kepada orang lain;
  • Apabila seseorang itu dikenali dengan gelaran itu secara menyeluruh; dan
  • Apabila ia terkenal dengan jahatnya.

Create a free website or blog at WordPress.com.